Sahabat Kami

Monday, November 1, 2010

PAMERAN PAWANG ANA DAN KARYANYA


Sejarah ketokohan Penglipur Lara Negara, Pawang Ana yang telah lenyap semenjak tahun 1914
akan dinobatkan kembali dalam seminar Pemikiran Pawang Ana yang telah berlangsung pada 25
Oktober 2010 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Perak, Jalan Raja
Di Hilir, Ipoh. Dalam masa yang sama, satu pameran bertajuk “Pawang Ana dan Karyanya” telahpun
dilangsungkan dari 23 Oktober 20 hingga 9 November 2010. Pameran ini diadakan di
ruang pameran Perpustakaan Awam Perak yang akan mempamerkan biografi ringkas
Pawang Ana serta karyanya termasuk ilustrasi wajah Pawang Ana oleh R.O Winstedt (bekas
Pegawai Inggeris di Tanah Melayu) yang diterbitkan dalam Malayan Memories pada tahun 1916
London. Lakaran wajah Allahyarham dijumpai oleh mantan Karyawan Tamu, Universiti Malaya, Mohd
Zamberi Abdul Malek ketika membuat penyelidikan mengenai R.O Winstedt di London. Di samping
beberapa fakta tempatan, lakaran wajah Pawang Ana akan menarik ramai pengunjung ke pameran ini.

    

Sebelum ini, beliau hanya dikenali sebagai tokoh penutur sastera rakyat atau cerita-cerita lipur lara
tetapi tiada pernah mana-mana pihak yang menerbitkan gambarnya. Program ini mendapat
sokongan kuat daripada Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Perak,
Dato’ Zainol Fadzi Paharudin dan akan merasmi penutup seminar tersebut. Penganjur utama ialah
Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk] dengan sokongan dan dokongan erat daripada Jabatan
Kebudayaan dan Kesenian Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Yayasan Perak, Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perbadanan Perpustakaan Awam Perak dan Persatuan Jalinan Rao
Malaysia (JARO). Sebanyak 20 kertas kerja akan dibentangkan oleh beberapa sarjana USM, UPSI
dan Nanyang Universiti, Singapura termasuk dari Presiden Karyawan Pk, Zabidin Hj Ismail bertajuk
“Biografi dan Sumbangan karya Pawang Ana” Siapa Pawang Ana? Pawang Ana juga seorang dukun dan pendekar.

Beliau berasal dari Rao, Sumatera Barat dan berhijrah ke Kg. Pulai Gopeng, Perak sekitar tahun
1850-an iaitu ketika arus kedatangan orang-orang Rao (Rawa) ke Perak. Menurut R.O
Winstedt, Pawang Ana menggunakan kepakarannya berjaya menemui mayat Residen British di Perak,
J.W.WBirch yang hanyut di Sungai perak setelah dibunuh pahlawan Melayu Pasir Salak. Selama
tiga hari dua malam Inggeris gagal menjumpai mayat tersebut. Pawang Ana juga pernah menamakan
Kg Batu Masjid, Temoh apabila kawasan itu dibuka oleh Lebai Tenggam pada tahun 1895. Selaku
tokoh Penglipur Lara tersohor, Pawang Ana telah menuturkan sebanyak lima cerita lipur lara dan
telah dibukukan oleh R.O Winstedt iaitu Hikayat Raja Muda, Hikayat Malim Deman, Hikayat Malim
Dewa, Hikayat Anggun Cik Tunggal dan Hikayat Awang Sulung Merah Muda. Kelima-lima cerita
tuturan Pawang Ana telah dikategorikan sebagai karya agung oleh Yayasan Karyawan. Pameran
ini akan berlangsung selama 16 hari bermula dari 23Oktober hingga 9 November 2010. Orang
ramai dijemput hadir bagi mendapatkan maklumat biografi Pawang Ana dengan sebagai
penglipurlara negara disamping juga dikenali sebagai seorang dukun dan pendekar. Sehingga kini,
belum ada mana-mana institusi yang mempamerkan pameran dan seminar mengenai ketokohan
dan karya Pawang Ana di negara ini.

Oleh yang demikian, pengunjung di perpustakaan jangan melepaskan peluang ini dan ambillah
kesempatan yang ada, bagi memastikan dan mengembalikan ‘semula ketokohan Pawang Ana
sebagai penglipurlara Melayu tersohor’
.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails